Make your own free website on Tripod.com
Menghilangkan Bau Badan

1. Ambil secawan air suam kemudian campurkan dengan beberapa kuntum bunga cengkih.  Kacau sebati dan minum tiga kali sehari. Ulang selalu petua ini untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Petua ini juga dapat mengatasi masalah bau nafas, ketiak dan masalah keputihan bagi wanita.

2. Ambil sebiji limau purut, kemudian belah dua.  Sapukan limau tersebut ke bahagian bawah ketiak, biarkan seketika sebelum dicuci. Lakukan tiga kali seminggu atau terpulang kepada anda jika ingin melakukan lebih kerap.  InsyaAllah bau badan yang tidak menyenangkan akan hilang dan badan akan terasa segar dengan haruman semula jadi dari perahan air limau purut.  Limau nipis juga boleh digunakan.

3. Jika ketiak anda hitam dan berbau, anda boleh menyapukannya dengan kapur sireh dan limau nipis, apabila anda selesai mandi. Amalkan cara ini selama seminggu, anda akan dapati ketiak anda cerah dan tidak berbau.

4. Ambil beberapa helai daun jambu batu dan segenggam beras dan digoreng. Bahan-bahan ini hendaklah ditumbuk halus. Kemudian sapulah di bahagian yang bermasalah (ketiak). Anda hendaklah lakukan sekerap mungkin sehingga bau badan anda hilang. Jika bau tersebut hilang, anda boleh gosokkan di tempat tertentu seminggu sekali.

5. Ambil beberapa biji limau kasturi. Kemudian potong empat, selepas itu sapukan limau tersebut di seluruh badan. Lakukan seminggu sekali, pasti bau badan anda harum dan segar selalu.

Menghilangkan daki badan

Selepas mandi, ambil satu biji kelapa parut, kemudian lumurkan pada seluruh badan selama 15 minit. Amalkan petua ini sekurang-kurangnya empat kali seminggu bagai mempercepatkan daki tanggal dari badan. InsyaAllah kulit akan kelihatan bersih dan halus.


Menghilangkan Bulu Roma


1. Bulu roma lebat sama ada pada kaki atau tangan, tentunya akan menjadi kurang menarik apabila dilihat. Untuk menanggalkannya, ambil segenggam pucuk cili padi, ramas dengan air.  Air ini dicampurkan dengan sedikit kapur barus.  Sapukan pada seluruh bahagian tangan dan kaki.  Biarkan kering, kemudian bilas bersih-bersih. Amalkan setiap hari, InsyaAllah, bulu roma akan hilang.

2. Ambil kacang hijau dan rendam semalaman. Kemudian ambil pula kunyit hidup dan giling lumat bersama dengan kacang hijau tadi. Tambahkan dengan sedikit air suam. Sapukan bahan ini ke betis dan biarkan hingga kering sebelum dibilas. Amalkan setiap hari.

Melembutkan tangan kasar

1. Cuci kedua-dua tangan, kemudian ambil satu camca teh gula pasir dan letakkan di tapak tangan.  Gosokkan gula di tangan sehingga larut, kemudian bilaslah dengan air dan keringkan.

2. Kupas sebiji limau kasturi, halia muda yang dihiris halus dan sedikit garam.  Campurkan kesemua bahan ini dan ramas dengan tangan sehingga limau kasturi lembut.  Sapukan bahan ini ke seluruh tangan, sehingga anda merasa tangan lembut.  Amalkan selalu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

3. Ambil serbuk kopi yang telah ditapis dan gosokkan pada telapak tangan selama 10 minit atau lebih. Lakukan selalu untuk memperoleh kesan yang memuaskan.


Menegangkan payu dara

1. Caranya anda hendaklah mengamalkan minum segelas susu segar bercampur halia yang dibakar dalam ketuhar.  Halia yang telah dileperkan itu hendaklah dimasukkan ke dalam susu segar yang masih panas.  Minumlah susu itu sekali sehari, setiap pagi atau petang. Hasilnya payu dara anda akan cantik dan tegang, anda tidak perlu bimbang untuk terus menyusukan anak anda.

2. Ambil buah labu dan dibelah sedikit lalu dimasak hingga lembik. Ramas semasa ia masih suam dan tempelkan pada seluruh payu dara anda. Biarkan selama 20 minit. Lakukan dua kali seminggu dan lihatlah hasilnya.


Atasi sakit pinggang dalam pantang


Ambil sebiji telur ayam, bahagian kuningnya hendaklah ditelan mentah.  Amalkan tiga hari berturut-turut.  InsyaAllah anda akan berasa lega, lenguh-lenguh pinggang akan sembuh.
Merawat sejuk sebelah badan

Penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan halia, sediakan lima ketul halia sebesar ibu jari tanpa membuang kulitnya.  Setelah dibersihkan, sediakan tiga cawan minyak tanah, campurkan dengan halia yang ditumbuk. Kemudian sapukan di seluruh badan yang sejuk itu selama tiga minggu.  Anda dinasihatkan jangan memakan daging, keju dan makanan berminyak.

Menghilangkan ketuat

1. Ambil getah buah betik dan sapukan pada ketuat. Ulang sebanyak dua kali sehari sehinggalah ketuat tersebut hilang.
2. Gunakan satu ulas bawang putih, kemudian digosokkan bahagian atas bawang putih ke tempat yang tumbuh ketuat. Jika diamalkan selalu lama-kelamaan ketuat akan hilang.

Menghaluskan kulit badan


1. Ambil dua biji telur ayam dan campurkan dengan air dan sebiji limau nipis. Sapukan ke seluruh badan dengan campuran itu setiap kali sebelum mandi. Biarkan kering seketika kemudian bilas. InsyaAllah ianya dapat menghaluskan kulit badan kita.

2. Ambil hampas kelapa yang telah digunakan santannya. Semasa mandi gosokkan hampas kelapa tersebut ke seluruh badan. Amalkan selalu, hasilnya anda akan memperolehi kulit segar dan lembab.

Menghaluskan tumit


1. Pilih betik muda dan ambil getahnya untuk disapukan pada tumit. Sebelum itu rendamkan kaki ke dalam air suam yang dicampurkan dengan sedikit garam bagi tujuan mematikan kuman. Jika diamalkan selalu, tumit anda akan sentiasa bersih dan cantik seperti tumit anak dara.

2. Anda perlu mencuci kaki hingga bersih sambil digosok-gosok ke lantai. Kemudian lap hingga kering. Setelah itu bolehlah sapukan bahagian tumit yang pecah dengan nasi. Lakukan selalu secara teratur sebelum masuk tidur. InsyaAllah, tumit kaki anda akan menjadi licin dan kelihatan cantik.

Hilangkan bekas terkena campak


Ambil jagung muda. Parutkan jagung muda tersebut dan gosoklah di bahagian kesan campak tersebut. Buatlah beberapa hari sehingga kesan campak hilang.

Awet muda dengan air daun sireh


Bagi wanita yang baru bersalin, sama ada masih di dalam pantang atau yang sudah habis berpantang, ada cara untuk mengekalkan awet muda. Caranya ambil beberapa helai daun sireh dan masukkan air panas. Biar seketika, kemudian basuh kemaluan dengan air daun sireh tersebut ketika mandi setiap pagi. Sekiranya diamalkan selalu sekaligus menghilangkan bau yang kurang menyenangkan ketika datang bulan atau hari biasa dan juga bebas dari masalah jerawat.

Buang angin dalam badan


Ambil beberapa helai pucuk mengkudu dan sedikit halia, direbus sehingga mendidih. Minum air rebusan tadi setiap pagi dan petang. Amalakannya dan mudah-mudahan usaha ada berhasil.

Kilatkan kuku

1. Ambil ubat gigi tidak mengira jenama dan gosok di kuku dengan menggunakan kain kesat (tuala). Gosok sehingga kuku nampak berkilat dan licin. Cubalah, ia pasti mujarab.

2. Gosokkan sebiji bawang putih yang telah dibuang kulitnya pada kuku anda. Lakukan petua ini beberapa kali dalam seminggu sehingga kuku anda kelihatan cantik dan berkilat.

Hilangkan kurap pada badan


Ambil segenggam daun gelenggang besar di potong tangkainya. Daun tersebut mestilah separuh tua, kemudian gosokkan pada tempat gatal beberapa kali. Lakukan tiga atau empat kali sehari. Walaupun kulit akan menggelupas, InsyaAllah kurap akan hilang.

Merawat kulit melecet

Memakai kasut baru memang menyebabkan kaki melecet. Untuk mengatasinya, sapukan sedikit minyak masak yang belum digunakan atau sapukan bawang merah pada tempat melecet. InsyaAllah , melecet akan hilang.

Menghilangkan benjol

Ambil dua atau tiga helai daun jarak. Bungkus dengan abu kapur dapur yang sederhana panas dan tuamkan (tekapkan) ke bahagian yang benjol atau bengkak itu. Ulangi hingga kesan benjol atau bengkak itu hilang. Ulangi hingga benjol itu hilang.